
MAIM KEKAL 38 SKIM BANTUAN MUALAF MELAKA
KESIDANG 14 Februari – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengekalkan 38 skim bantuan mualaf bagi tahun 2026, membuktikan sistem sokongan terhadap golongan mualaf negeri ini terancang dan berterusan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, konsistensi pelaksanaan skim bantuan ini menunjukkan sokongan terhadap mualaf bukan bersifat bermusim sebaliknya berlandaskan perancangan jangka panjang.
“Zakat bukan sekadar instrumen ekonomi tetapi jambatan peradaban. Ia menyatukan yang kaya dengan miskin yang lama dengan baharu dan yang kuat dengan yang lemah dalam satu simpulan ukhuwah yang tidak terlerai oleh masa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Agihan Bantuan Persediaan Ramadan dan Syawal Mualaf Negeri Melaka Tahun 2026 di Kompleks Darul Huda Balai Islam MAIM, di sini, baru-baru.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah.
Hadir sama Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad dan Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis.
Menurut Rahmad antara skim dinaikkan bagi tahun 2026 seperti bantuan sakit kronik daripada RM200 sebulan kepada RM300.
“Bantuan persediaan makan minum Kelas Bimbingan Fardhu Ain & Al-Quran (KAFAF) dan Asrama Food4U daripada RM5 sehari kepada RM8 sehari, sementara itu bantuan sewaan rumah transit luar daripada RM600 kepada RM650 sebulan, bagi meringankan kos sara hidup mualaf,” katanya.
Rahmad turut menasihatkan para penerima supaya memanfaatkan setiap bantuan diterima sebagai batu loncatan membina kehidupan lebih stabil.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


