
MAIM LAKSANA IBADAH KORBAN DI KAMPUNG ORANG ASLI BUKIT SERAYA
KESIDANG 9 Jun – Bagi menyuburkan lagi syiar Islam dan memberikan pendedahan berhubung kehidupan sebagai seorang Muslim, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan melaksanakan ibadah korban di Perkampungan masyarakat Orang Asli Bukit Seraya, Selandar, esok
Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam Kompleks Darul Huda MAIM, Mohd Nasir Wahab berkata, ibadah itu akan melibatkan lima ekor lembu yang kemudian diagihkan kepada penduduk sekitar.
“Hasrat MAIM menganjurkan program ini adalah untuk menyantuni saudara baharu kita di perkampungan itu, dianggarkan 300 penduduk di penempatan berkenaan adalah beragama Islam.
“Program ini adalah anjuran MAIM bersama Balai Islam MAIM dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bertujuan memberikan pendedahan kepada saudara baharu kita mengenai ibadah korban,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kasih Qurban Perdana Mualaf Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025 yang disempurnakan oleh Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil di Kompleks Darul Huda, Bahagian Balai Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), di sini, semalam.
Hadir sama, Pegawai Tugas Khas MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud serta kenamaan lain.
Mohd Nasir turut memaklumkan Program Kasih Qurban Perdana Mualaf Tahun 2025 itu merupakan signifikan kepada saudara baharu yang tinggal di Balai Islam.
“Buat saudara baharu di sini mereka dapat melihat sendiri bagaimana kaedah dan cara Islam melaksanakan ibadah korban.
“Bagi mualaf ini mereka teruja dapat mempraktikkan apa yang diajar mengenai ibadah korban, ia bukan sahaja berkenaan penyembelihan namun makna dan erti sebenar pengorbanan dalam Islam itu dapat dihayati,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.