
MAIM NAIKKAN KADAR 10 SKIM BANTUAN UNTUK ASNAF 2026
TELOK MAS 31 Disember – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menambah baik 10 skim bantuan untuk asnaf di negeri ini dengan kadar baharu pada tahun 2026.
Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, kenaikan kadar baharu itu mencerminkan keprihatinan pihaknya terhadap kos sara hidup yang semakin tinggi.
Jelas beliau, antara skim bantuan yang ditambah baik adalah Bantuan Syawal bagi asnaf fakir, miskin dan mualaf yang dinaikkan kepada RM150 daripada RM100 sebulan sebelum ini, di mana ia melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM1.365 juta.
Manakala, Bantuan Ramadan bagi asnaf miskin pula jelas beliau, dinaikkan kepada RM300 daripada RM250 dengan implikasi kewangan berjumlah RM2.46 juta.
“Selain itu, Bantuan Saraan Anak Sekolah (BSAS) bagi asnaf miskin dinaikkan kepada RM100 daripada RM90 dengan implikasi kewangan berjumlah RM9.6 juta.
“Bantuan Khairat Kematian bagi asnaf fakir dinaikkan kepada RM1,500 berbanding RM800 sebelum ini, sementara untuk asnaf miskin pula dinaikkan kepada RM350 daripada RM300 dengan implikasi kewangan berjumlah RM61,500.
“Manakala, Bantuan Sakit Kronik bagi asnaf miskin dan asnaf mualaf dinaikkan kepada RM300 daripada RM200 melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM4.428 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Persiapan Persekolahan Jom Ke Sekolah Kepada Anak-Anak Asnaf, Fakir, Miskin dan Mualaf Bagi Sesi Persekolahan 2026M/1447H Parlimen Kota Melaka, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Shaifulfazlee berkata, turut menerima manfaat kenaikan kadar bantuan adalah Kit Raya Mualaf bagi asnaf mualaf yang dinaikkan kepada RM70 daripada RM50 sebelum ini.
Selain itu, jelas beliau, Elaun Kehadiran Mualaf bagi program juga dinaikkan kepada RM30 daripada RM20, manakala program Food 4U bagi asnaf mualaf dinaikkan kepada RM8.00 daripada RM5.00.
“Turut dinaikkan adalah Sewaan Rumah Transit Luar bagi asnaf mualaf iaitu berjumlah RM650 daripada RM600 sebelum ini dengan implikasi kewangan berjumlah RM78,000.
“Manakala, Elaun Ziarah Skuad Al-Huda bagi asnaf mualaf dinaikkan kepada RM50 daripada RM40 dengan implikasi kewangan berjumlah RM240,000,” katanya.
Menurut Shaifulfazlee, MAIM telah menggariskan bajet terbesar yang pernah diunjurkan sepanjang tahun 2026.
Jelas beliau, ia selari dengan peningkatan sasaran kutipan dan agihan zakat, selain menggambarkan komitmen serius dalam menyantuni dan melaksanakan program pembangunan untuk asnaf di Negeri Melaka.
“Lebih banyak asnaf yang dapat dibantu daripada segi kebajikan dan lebih banyak program pembangunan yang dapat direalisasikan bagi mendorong asnaf keluar daripada kelompok kemiskinan,” tambah beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


