
MAIM NAIKKAN KADAR BANTUAN MAKANAN BULANAN ASNAF MULAI JULAI
AYER KEROH 18 Jun – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menaikkan kadar bantuan makanan bulanan kepada asnaf berkuat kuasa mulai Julai ini.
Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat MAIM, Rohaizah Abas berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak pengurusan tertinggi mempertimbangkan krisis kenaikan harga barang mentah dihadapi asnaf ketika ini.
Katanya, pembahagian kadar bantuan makanan itu ditetapkan RM300 bagi Asnaf Miskin dan Asnaf Mualaf daripada RM250 sebelum ini manakala kadar Asnaf Fakir kekal kepada RM400.
“Difahamkan keputusan ini dibuat selepas kita bermesyuarat untuk peruntukan bajet tahunan. Semakan mendapati kadar bantuan makanan tidak dinaikkan sejak beberapa tahun lalu.
“Kenaikan harga barang menjadi akar umbi kenapa kita naikkan kadar bantuan ini dengan harapan agar asnaf-asnaf MAIM setidak-tidaknya berasa lebih terbela.
“Asnaf-asnaf ini boleh terus menebus bantuan ini dengan menggunakan kad pengenalan mereka dan pergi kepada pembekal dan peniaga runcit bagi mendapatkan barangan keperluan asas,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Tambahnya, menerusi kaedah itu, MAIM juga berhasrat membantu pembekal, peruncit dan peniaga kecil-kecilan di luar sana.
“Itu sebab kenapa kita khaskan penebusan bantuan ini hanya melalui pembekal dan peruncit ditetapkan.
“Setakat ini, seramai 7,651 penerima asnaf miskin bagi bantuan ini mengikut data yang saya ada,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.