
MAIM PASTIKAN MUALAF MELAKA TIDAK SENDIRIAN
BANDARAYA MELAKA 31 Januari – Lebih 300 mualaf di negeri ini diraikan pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan Muallaf Negeri Melaka Tahun 2026/1447H di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah berkata, majlis apresiasi itu menjadi bukti Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sentiasa menjaga kebajikan mualaf.
Katanya, Kerajaan Negeri dan MAIM akan sentiasa memastikan setiap mualaf yang melangkah ke dalam Islam tidak dibiarkan bersendirian tetapi dibimbing secara sistematik dan berterusan.
“Kerajaan Negeri melihat golongan mualaf sebagai aset strategik ummah yang berpotensi memperkukuh kekuatan rohani dan sosial masyarakat Islam sekiranya dibimbing.
“Pada majlis apresiasi ini, turut diraikan 33 penerima anugerah dan sumbangan bagi pelbagai kategori sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap usaha mualaf di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan Muallaf Negeri Melaka Tahun 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Khas MAIM Datuk Wira Md Rawi Mahmud; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Zohaimee Mohd Sori; Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis; Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam MAIM Mohd Nasir Wahab serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rosli memaklumkan MAIM akan memperkukuhkan bimbingan kepada mualaf di negeri ini dan memastikan tiada yang terpinggir.
“MAIM akan memastikan kebajikan serta pembangunan mualaf terus diberi perhatian menyeluruh tanpa mengira latar belakang.
“Mualaf inilah akan menjadi duta kecil Islam jika bimbingan yang betul diberikan sekali gus menzahirkan ummah yang rahmah, toleran dan inklusif,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


