
MAIM PERKENAL SKIM BANTUAN SIMPANAN PELAJARAN ANAK ASNAF
TELOK MAS 15 Disember – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memperkenalkan satu lagi skim bantuan baharu dalam membantu pendidikan anak-anak asnaf fakir dan miskin.
Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, skim itu dikenali sebagai Bantuan Simpanan Pelajaran Anak Asnaf yang akan bermula pada 2026.
Menurut beliau, skim bantuan tersebut disediakan dengan peruntukan berjumlah RM60,000 yang akan dimanfaatkan seramai 20 orang anak asnaf.
“Penerima bantuan ini akan menerima RM3,000 dalam bentuk Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
“Ia bagaimanapun hanya boleh dikeluarkan apabila anak-anak ini berumur 18 tahun dan tamat pelajaran di sekolah, di mana daripada RM3,000 itu, jumlahnya akan meningkat menerusi tambahan dividen,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Persiapan Persekolahan Jom Ke Sekolah Kepada Anak-Anak Asnaf, Fakir, Miskin dan Mualaf Bagi Sesi Persekolahan 2026M/1447H Parlimen Kota Melaka, baru-baru ini.
Menurut Shaifulfazlee, menerusi bantuan simpanan pelajaran itu, ia diyakini dapat membantu meringankan beban anak-anak asnaf di negeri ini untuk melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi pada masa akan datang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


