Sorting by

×

MAIM PERKUKUH HUBUNGAN DAKWAH DI SELATAN THAILAND

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 2 Oktober – Dalam usaha memperkukuh hubungan di antara komuniti Islam di Melaka dan selatan Thailand, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Melaka telah menganjurkan program Jelajah Dakwah Serantau.

Program selama tiga hari di daerah Songkhla itu memberi tumpuan kepada aspek pengurusan pendidikan dan pembangunan Islam di peringkat nusantara.

MAIM dalam satu kenyataan memaklumkan, program anjuran Bahagian Balai Islam itu disertai seramai 40 peserta terdiri daripada pegawai dan saudara baharu Muslim di Negeri Melaka.

Jelas kenyataan itu, ia turut membabitkan lapan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Mualaf Negeri Melaka terdiri daripada PERKIM Cawangan Negeri Melaka; Persatuan Tionghwa Muslim Melaka (PERTIM); Badan Kebajikan Persaudaraan Islam Negeri Melaka (BAKPIS) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Negeri Melaka.

Selain itu, program ini turut disertai Persatuan Dayak Muslim Kebangsaan (PDMM) Cawangan Negeri Melaka; Hidayah Centre Foundation (HCF) Cawangan Negeri Melaka; Persatuan India Muslim Melaka (PIMM) dan Persatuan Anak-anak Sabah Melaka (PASMA).

“Antara lokasi yang dilawati menerusi program ini adalah Masjid Songkhla dan Bumrungsuksa Islamic School.

“Objektif utama program dakwah ini adalah memperkukuh hubungan ukhuwah Islamiah sesama saudara muslim kedua-dua buah institusi, khususnya komuniti Islam di Selatan Thailand.

“Selain itu, ia juga bertujuan melihat dengan lebih dekat pengurusan pendidikan serta pembangunan Islam di peringkat antarabangsa,” kata kenyataan tersebut.

Program Jelajah Dakwah Serantau itu telah diketuai Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam MAIM, Ustaz Mohd Nasir Wahab.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

600
Kongsi :
Previous post MAHASISWA KETUAI MISI KEMANUSIAAN DI THAILAND
Next post WRUR KLEBANG TITIK SENTUH HATI RAKYAT