Sorting by

×

MAIM PERUNTUK RM3.15 JUTA UNTUK BANTUAN PERSEKOLAHAN ANAK ASNAF

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 28 Disember – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menyalurkan bantuan persekolahan kepada hampir 9,000 anak-anak dalam golongan asnaf, fakir dan miskin di negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, MAIM memperuntukan nilai keseluruhan RM3.15 juta bagi tujuan terbabit.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi MAIM memaklumkan, setiap penerima menerima bantuan bernilai RM350 dalam bentuk baucar bagi mendapatkan barangan keperluan persekolahan.

“Pengagihan bantuan itu telah selesai dilaksanakan di setiap Parlimen dengan Parlimen Hang Tuah Jaya menjadi lokasi terakhir agihan.

“Penerima boleh menebus barangan keperluan persekolahan sekolah rendah dan menengah termasuk pakaian pengawas dalam tempoh kira-kira seminggu di lokasi yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Melaka Berselawat sempena Ambang Tahun Baharu 2026 di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini malam tadi.

Majlis ilmu itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Yang turut hadir, Tunku Besar Tampin, Yang Teramat Mulia Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al Qadri; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad serta kenamaan lain.

Menurut Rahmad, bantuan tersebut merupakan hasil agihan daripada dana zakat yang diterima di negeri ini bertujuan meringankan beban keluarga asnaf, selain memastikan aspek pendidikan anak-anak mereka sentiasa diberi keutamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

439
Kongsi :
Previous post BISTARI DISERU PERKUKUH JARINGAN KERJASAMA RENTAS SEKTOR
Next post BISTARI PERKUKUH MOMENTUM SANTUNI RAKYAT MEMERLUKAN