Sorting by

×

MAIM SALUR RM3.15 JUTA BANTUAN PERSEDIAAN SEKOLAH 8,861 ANAK ASNAF

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TELOK MAS 6 Disember – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memperuntukkan RM3.15 juta bagi bantuan persediaan persekolahan anak-anak asnaf, fakir dan mualaf pada tahun ini.

Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, jumlah itu memanfaatkan 8,861 penerima, merangkumi 8,193 anak asnaf miskin, 558 asnaf mualaf dan 110 asnaf fakir di seluruh Negeri Melaka.

Katanya, bantuan itu bukan sahaja meringankan beban keluarga asnaf, bahkan pada masa sama dapat memberi motivasi tambahan untuk anak-anak ini berjaya dalam pelajaran dan mengubah nasib keluarga.

“Bantuan ini dibiayai sepenuhnya melalui Dana Zakat, yang mana setiap pelajar menerima bantuan bernilai RM350 seorang berbentuk pakaian dan kelengkapan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Persiapan Pesekolahan ‘Jom Ke Sekolah’ Kepada Anak-Anak Asnaf Fakir, Miskin Dan Mualaf Bagi Sesi Persekolahan Tahun 2026 Parlimen Kota Melaka Bagi Tahun 2025M/1447H yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas di Dewan Komuniti Telok Mas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Kesidang Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Adun Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pegawai Khas MAIM Datuk Wira Md Rawi Mahmud serta lain-lain kenamaan.

Menurut Shaifulfazlee bagi Parlimen Kota Melaka sahaja, ia membabitkan seramai 1,685 penerima bantuan berkenaan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM589,750.

Ia membabitkan 558 penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas; DUN Duyong (335); DUN Kesidang (559); DUN Kota Laksamana (148) dan 85 dari DUN Banda Hilir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

316
Kongsi :
Previous post BAJET NEGERI MELAKA 2026: DANA PELANCONGAN REMAJA DIPERKENALKAN