
MAIM SEDIA JALIN KERJASAMA UNTUK PEMBANGUNAN ANAK YATIM, MISKIN
BUKIT KATIL 20 Oktober – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama bagi membantu pembangunan anak-anak yatim, miskin dan asnaf di negeri ini.
Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohammad berkata, usaha membantu golongan memerlukan ini tidak hanya bergantung kepada agensi kerajaan semata-mata, sebaliknya sokongan berterusan daripada masyarakat turut diperlukan.
Shaifulfazlee berkata, di bawah pengurusan MAIM terdapat dua rumah anak yatim iaitu Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah (KAYFAZ) yang menempatkan penghuni perempuan manakala Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al- Haj (RAYSAAS), Pantai Puteri pula khusus untuk penghuni lelaki berusia antara lapan hingga 17 tahun.
“Kami di pihak MAIM yang menguruskan asnaf di Melaka mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dan pihak yang berminat boleh terus berhubung dengan kami.
“Setahun sejumlah RM800,000 di bawah pecahan zakat fisabilillah disalurkan kepada setiap rumah anak yatim ini ia merangkumi semua termasuk kos pengurusan, makan, kelas tuisyen termasuk penganjuran program.
“Harapan kami agar anak-anak atau penghuni ini dapat mencapai kejayaan dan kecemerlangan supaya nanti bukan sahaja dapat menyambung pelajaran sekaligus mampu mengubah nasib keluarga dengan pelajaran serta kemahiran yang diberikan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Santunan Kasih Isteri Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) Bersama Anak Yatim yang dihadiri isteri kepada Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman, di KAYFAZ, di sini, semalam.
Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri merangkap Pengerusi KAYFAZ, Datuk Wira Salhah Salleh; isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datin Setia Nik Roslini Raja Ismail; Isteri Speaker Dewan Undangan Negeri, Datin Wira Nik Zulhasra Mohd Zain dan Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Negeri Melaka (LKPI) Puan Seri Datuk Zabedah Abdullah.
Menurut Shaifulfazlee, kesudian penganjur memilih KAYFAZ sebagai tuan rumah dan lokasi program amat disanjungi serta memberi kegembiraan buat penghuni.
“Hasil jalinan kerjasama erat pelbagai pihak dan penyumbang termasuk sokongan daripada Kerajaan Negeri KAYFAZ terus beroperasi selama 21 tahun bagi menunaikan amanah.
“Selain itu sebagai penghargaan dan menyambut kedatangan delegasi, kami bertungkus-lumus menyiapkan penghuni agar mereka dapat memberika persembahan terbaik untuk tetamu yang hadir,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.