
MAIM TAMBAH BAIK AGIHAN BANTUAN SEKOLAH, MUDAHKAN PENERIMA
SUNGAI UDANG 18 Disember – Penambahbaikan kaedah agihan sumbangan bantuan persekolahan yang dilakukan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) pada tahun ini bukan sahaja memudahkan asnaf malah melancarkan proses penyerahan sumbangan.
Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, jika tahun sebelum penyampaian sumbangan dilakukan mengikut daerah dan merangkumi tiga lokasi sahaja tetapi pada tahun ini bantuan diberikan mengikut Parlimen menjadikan kesemua lokasi penyerahan menjadi enam.
Beliau berkata, langkah itu dilihat lebih dekat dengan golongan asnaf setempat sekali gus memudahkan penerima hadir mengambil sumbangan berbanding kaedah sebelum ini yang hanya melibatkan tiga daerah dengan kawasan liputan lebih besar.
“Tahun ini penambahbaikan yang dilakukan MAIM adalah dari segi penyerahan sumbangan apabila dibuat mengikut Parlimen. Jika sebelum ini mengikut daerah lebih besar dan ramai.
“Langkah ini lebih dekat kepada asnaf-asnaf selain memudahkan penerima bantuan untuk mengambil kelengkapan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Persiapan Persekolahan Kepada Anak-Anak Asnaf, Fakir, Miskin Dan Mualaf MAIM Bagi Tahun 2026M/1447H Parlimen Tangga Batu Anjuran MAIM, yang disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin, di Japerun Sungai Udang, di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong dan Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis.
Menurut Shaifulfazlee, sehingga kini penyampaian bantuan sumbangan sudah selesai dibuat di tiga Parlimen membabitkan lebih 5,000 penerima.
“Penyerahan dibuat bermula di Parlimen Kota Melaka, diikuti Alor Gajah serta Tangga Batu manakala bagi Parlimen Jasin dan Alor Gajah penyerahan akan dibuat pada hujung minggu ini sebelum lokasi terakhir di Hang Tuah Jaya minggu hadapan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


