Sorting by

×

MAIM TERUS PERKASA USAHAWAN ASNAF, GALAK TEROKA PASARAN BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

SERKAM 9 Mac – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk menawarkan Bantuan Perniagaan bagi memberikan galakan dan membantu golongan asnaf meningkatkan produktiviti pengeluaran produk mereka seterusnya meneroka pasaran baharu.

Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, inisiatif baharu dilaksanakan itu bertujuan membantu asnaf menjana pendapatan secara lebih mampan, sekali gus berupaya keluar daripada kategori penerima bantuan pada masa hadapan.

“Kami amat mengalu-alukan kepada usahawan asnaf khususnya untuk membuat permohonan dengan mengemukakan kertas kerja berkaitan keperluan boleh membantu mereka untuk terus berkembang.

“Bagi inisiatif Bantuan Perniagaan kami tidak meletakkan jumlah atau had tertentu, ia bergantung kepada penilaian serta keperluan sebenar perniagaan yang dicadangkan,” katanya.

Shaifulfazlee berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke premis penerima Bantuan Perniagaan bersama Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis, di Melaka Halal Hub Serkam, baru-baru ini.

Menurutnya, selain bantuan kewangan MAIM turut menyediakan kursus dan latihan jangka pendek bagi meningkatkan kemahiran serta pengetahuan penerima bantuan dalam bidang keusahawanan.

“Kita mahu melihat lebih ramai asnaf beralih daripada penerima bantuan kepada penyumbang zakat melalui peningkatan keuntungan dan pengembangan perniagaan.

“Seperti yang dimaklumkan oleh penerima bantuan, dengan adanya peralatan baharu diperoleh produktiviti pengeluaran bertambah dan secara tidak langsung merancakkan lagi operasi perniagaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

500
Kongsi :
Previous post PELABURAN KE MELAKA CECAH TERTINGGI DALAM 20 TAHUN – AB RAUF
Next post LEBIH 400,000 KENDERAAN DIJANGKA MASUK KE MELAKA MENJELANG AIDILFITRI