Sorting by

×

MAJLIS APRESIASI SUNTIK SEMANGAT, PETUGAS KESIHATAN TERHARU DIRAIKAN

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH, 6 Ogos – Majlis Sanjungan Budi dan Apresiasi Petugas Kesihatan Negeri Melaka 2025 berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), semalam menerima sambutan positif dalam kalangan petugas kesihatan negeri ini.

Majlis julung kali diadakan itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebagai tanda penghargaan kepada hampir 9,000 petugas kesihatan menjadi tulang belakang kepada kesejahteraan rakyat Melaka.

Whatsapp image 2025 08 06 at 11.40.13 am
AZLINA.

Kakitangan pentadbiran Jabatan Kecemasan Hospital Melaka, Azlina Muhammad Ali, 43, berasa dihargai apabila diraikan dalam majlis penuh gemilang bersama rakan-rakan setugas melibatkan seluruh sektor perkhidmatan kesihatan.

“Saya sudah 22 tahun berkhidmat dan ini kali pertama kami diraikan dalam suasana yang sangat meriah. Ia bukan sahaja menyatukan kakitangan daripada pelbagai unit, pelbagai skim kesihatan, malah menyuntik semangat baharu dalam jiwa kami,” katanya.

Whatsapp image 2025 08 06 at 11.40.13 am (1)
NUR AFIFAH.

Sementara itu nada sama disuarakan Jururawat Unit Kecemasan Hospital Melaka, Nur Afifah Jusoh, 42, berharap majlis seumpama itu dapat dianjurkan secara berkala.

“Majlis seperti ini memberi kesan besar kepada moral petugas kesihatan. Bukan sahaja dapat bergaya cantik-cantik, malah dapat bawa pulang hadiah cabutan bertuah.

“Walaupun tidak semua 9,000 petugas dapat hadir, himpunan 2,000 orang malam ini sudah cukup menggambarkan semangat kebersamaan,” katanya yang telah berkhidmat selama 21 tahun.

Whatsapp image 2025 08 06 at 11.40.14 am
SHARIFAH MARIAM.

Manakala, kakitangan Unit Pentadbiran Hospital Melaka, Sharifah Mariam Syed Esa, 41, menyifatkan penganjuran majlis tersebut sebagai satu bentuk sokongan moral daripada Kerajaan Negeri.

“Kami amat berterima kasih atas penghargaan ini. Ia memberikan motivasi untuk terus berbakti dengan lebih komited,” katanya.

Majlis itu turut menyaksikan pelbagai acara penghargaan, persembahan, serta penyampaian hadiah cabutan bertuah sebagai tanda simbolik penghormatan kepada petugas barisan hadapan sektor kesihatan negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

543
Kongsi :
Previous post EMPAT FOKUS UTAMA MCORP KE ARAH KECEMERLANGAN ORGANISASI
Next post TEBATAN BANJIR ALOR GAJAH FASA 1 LEGAKAN PENDUDUK