
MAJLIS ILMU, BERSELAWAT DI WRUR SETIAP DUN
SUNGAI UDANG 30 Mei – Program Sungai Udang Berselawat menerima reaksi positif dan pengunjung yang ditemui menyifatkan penganjuran majlis ilmu itu amat berkesan dalam mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan umat Islam di Negeri Melaka khususnya.
Ahmad Najmuddin bidin, 27, berkata penganjuran majlis ilmu seumpama itu merapatkan lagi jurang persaudaraan dalam kalangan umat Islam, meskipun pengunjung yang hadir berbeza ideologi dan fahaman politik.
Katanya, majlis ilmu seperti Sungai Udang Berselawat wajar diangkat sebagai acara wajib dilaksanakan pada setiap penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) seterusnya selepas ini.
“Saya tinggal Masjid Tanah dan bukan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, tetapi apabila dapat maklumat berhubung penganjuran majlis ilmu ini saya tidak melepaskan peluang dan mahu turut serta memeriahkannya.
“Alhamdulillah ramai yang hadir kali ini dan saya pasti bukan semua adalah orang Sungai Udang, sekali gus membuktikan majlis ilmu seperti ini menyatukan kita umat Islam,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Sungai Udang Berselawat di Japerun Sungai Udang, semalam.
Sementara itu Mohamad Shafiq Bin Azman, 30, pula mencadangkan agar Kerajaan Negeri memperbanyakkan lagi penganjuran majlis ilmu dan diangkat sebagai acara bulanan.
“Jika dianjurkan sudah pasti ramai yang akan datang, semuanya sudah terbukti pada penganjuran termasuk peringkat negeri sebelum ini. Umat Islam seluruh Melaka dan tidak kurang juga dari negeri luar datang berkumpul memeriahkan majlis ilmu.
“Tidak dapat sebulan sekali, mungkin boleh diangkat sebagai program wajib setiap kali berlangsungnya WRUR,” katanya yang tinggal di Bukit Beruang.
Terdahulu, Majlis Sungai Udang Berselawat yang diadakan seawal jam 7 malam bersempena Program WRUR DUN Sungai Udang itu menerima kehadiran 5,000 umat Islam dari seluruh negeri.
Kehadiran Penyelaras DUN Sungai Udang merangkap Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad dan kenamaan lain menambah seri majlis terbabit.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.