
MAJLIS TVET MELAKA PERLUAS PROGRAM BERSAMA KOMUNITI
AYER KEROH 31 Januari – Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negeri Melaka akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan program berasaskan komuniti secara lebih meluas sebagai antara hala tuju utama bagi tahun 2026.
Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, perancangan itu perlu melibatkan penyertaan komuniti secara menyeluruh dan tidak tertumpu kepada kumpulan sasaran tertentu sahaja.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negeri Melaka memaklumkan, pendekatan itu bertujuan memastikan inisiatif TVET dapat dimanfaatkan oleh seluruh lapisan masyarakat Melaka.
“Kita akan memperbanyakkan program yang melibatkan komuniti dan bukan tertumpu kepada satu-satu kumpulan sahaja.
“Majlis TVET ini juga akan memainkan peranan sebagai platform penyelarasan strategik antara kementerian, agensi dan pihak industri bagi mengelakkan pertindihan pelaksanaan program serta memperkukuh sinergi kerjasama.
“Penetapan hala tuju Majlis TVET Negeri Melaka amat penting supaya setiap inisiatif yang dilaksanakan selari, tersusun dan saling melengkapi antara satu sama lain,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Khaidhirah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim berkata, setiap program dan inisiatif yang dirangka perlu bersifat praktikal, berimpak tinggi serta mempunyai indikator prestasi yang jelas bagi memastikan keberkesanannya dapat diukur.
“Pendekatan ini penting untuk memastikan Majlis TVET Melaka kekal relevan dan benar-benar memberi manfaat langsung kepada rakyat serta industri di Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


