
MAKMAL DAN INSEKTARIUM PERKUKUH SISTEM KESIHATAN AWAM MELAKA
PENGKALAN BATU 8 Januari – Makmal dan Insektarium Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka yang dilancarkan semalam menjadi satu pencapaian penting dalam memperkukuh sektor kesihatan awam di negeri ini.
JKN Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, fasiliti tersebut merupakan satu langkah strategik dalam mempertingkatkan kecekapan pemantauan, penyelidikan serta kawalan penyakit bawaan vektor, khususnya penyakit yang melibatkan nyamuk Aedes.
Jelas kenyataan tersebut, makmal dan insektarium itu turut memainkan peranan penting sebagai sokongan teknikal kepada pelaksanaan Program Pelepasan Nyamuk Aedes BerWolbachia, yang bertujuan mengurangkan penularan penyakit melalui pendekatan kawalan biologi yang selamat dan berkesan.
“Makmal dan insektarium ini akan berfungsi sebagai pusat sokongan teknikal dan pemantauan entomologi bagi memastikan data dan intervensi kawalan vektor lebih berkesan.
“Pada masa sama, ia juga menjadi platform latihan dan penyelidikan serta pembangunan kapasiti anggota kesihatan agar sentiasa kompeten dan berdaya saing, selain memangkin kerjasama strategik antara jabatan dan agensi yang berkaitan,” kata kenyataan tersebut.

Terdahulu, Majlis Perasmian Makmal dan Insektarium Jabatan Kesihatan Negeri Melaka telah disempurnakan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Ruzita Mustaffa dan disaksikan barisan pengurusan serta warga kerja JKN Melaka.
Dalam pada itu JKN Melaka berharap fasiliti tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pusat rujukan dan inovasi ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam, seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan dan keselamatan kesihatan rakyat Negeri Melaka secara berterusan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


