
MALAYSIA DIIKTIRAF LIMA DESTINASI PALING MESRA MUSLIM
BANDA HILIR 5 Julai – Malaysia kini telah diiktiraf di kedudukan lima terbaik destinasi paling mesra Muslim di seluruh dunia.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamid berkata, negara ini juga turut menduduki tangga teratas dalam Global Islamic Economy Indicator selama sepuluh tahun berturut-turut.
Menurut beliau, pada tahun 2023, pasaran pelancongan halal negara bernilai USD256.5 bilion dan ia dijangka mencecah USD410.9 bilion menjelang 2032.
Justeru, beliau menyifatkan pemilihan Malaysia dan Negeri Melaka sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 bukan sahaja tepat pada masanya, malah bersifat visi masa hadapan.
“Ia memberi kita platform global untuk memperlihatkan keunikan sebenar kita. Biarlah Hari Pelancongan Sedunia di Melaka menjadi detik yang memberi inspirasi kepada dunia, menunjukkan bahawa Malaysia bersedia untuk memimpin, menyambut, dan membentuk masa depan pelancongan yang berasaskan nilai dan bermakna,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan bersempena Majlis Pra-Peluncuran WTD 2025 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-17 Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia UNESCO di perkarangan Stadthuys, di sini, malam tadi.
Teks ucapan beliau telah dibacakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad dan duta dan pesuruhjaya tinggi ke Malaysia; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain dif kehormat.
Menurut Ahmad Zahid, pemilihan Melaka mewakili Malaysia sebagai tuan rumah adalah tepat memandangkan pada tahun lalu, negeri kecil ini menarik kehadiran 15 juta pelawat, selain menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM12.68 bilion.
Jelas beliau, ia merupakan satu pencapaian besar di bawah Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Dalam tempoh yang sama, Malaysia menerima 37.9 juta pelawat, iaitu peningkatan sebanyak 31 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Manakala dari Januari hingga April tahun ini, Malaysia menerima 13.3 juta pelawat, berbanding 11.06 juta dalam tempoh yang sama pada 2024 dengan peningkatan sebanyak 21 peratus,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.