Sorting by

×

MALAYSIA LAKSANA PENANDA ARAS BAHARU PELANCONGAN LESTARI

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

BANDA HILIR 27 September – Malaysia memperkukuh struktur pelaksanaan transformasi pelancongan mampan dengan melaksanakan ujian perintis indikator kelestarian UN Tourism (MST) melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata indikator itu akan dimasukkan ke dalam ‘Tourism Satellite Account’ sebagai penanda aras baharu bagi mengukur impak sebenar pelancongan terhadap ekonomi, alam sekitar dan masyarakat.

Katanya, pada masa sama, syarikat-syarikat pelancongan turut digalakkan mengguna pakai piawaian antarabangsa termasuk ‘Global Sustainable Tourism Council (GSTC), Environmental, Social dan Governance (ESG), Benefit Corporation (B-Corp) dan International Network of Sustainable Tourism Observatories (INSTO) yang diiktiraf Pelancongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Tourism).

“Tahun ini sahaja, lima hotel di Malaysia menerima ASEAN Green Hotel Awards. Ini membuktikan kita bukan sekadar bercakap tentang transformasi, sebaliknya sedang melaksanakannya

“Cabaran pelancongan global termasuk kesesakan bandar warisan, pelaburan tidak seimbang dan isu infrastruktur menuntut tindakan segera serta inovasi baharu.

“Malaysia tidak mahu sekadar menjadi tuan rumah kepada perhimpunan antarabangsa, sebaliknya mahu menjadikan WTD dan WTC 2025 sebagai titik perubahan ke arah pelancongan dunia yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Agung Pelancongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Tourism), Zurab Pololikashvili dan kenamaan lain.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Rahman Abdul Razak bersama barisan Exco dan Timbalan Exco.

Mengulas lanjut, King Sing memaklumkan pada tahun lalu Malaysia menerima 38 juta pelancong antarabangsa, manakala sehingga pertengahan tahun 2025 seramai 20.6 juta pelancong direkodkan.

“Peningkatan sebanyak 17.9 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu jelas menunjukkan sektor pelancongan Malaysia semakin positif.

“Pertumbuhan semata-mata bukanlah penanda aras kita namun kemajuan sebenar dengan memastikan pelancongan mengangkat taraf hidup rakyat, memelihara budaya, melindungi ekosistem, serta memperkukuh daya tahan terhadap kejutan pada masa depan yang kita mahukan,” tegasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

467
Kongsi :
Previous post DELEGASI DUNIA DIJEMPUT HAYATI KEUNIKAN MELAKA
Next post MELAKA HARGAI PELUANG SUARAKAN PANDANGAN INDUSTRI DALAM BELANJAWAN 2026