Sorting by

×

MALAYSIA LULUS 8 LALUAN ANTARABANGSA BAHARU TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BANDA HILIR 6 Julai – Sebanyak lapan laluan antarabangsa baharu telah diluluskan Malaysia sejak Januari hingga Mei tahun ini bagi memperkasa sektor pelancongan negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan 116 laluan antarabangsa aktif, selain lapan perkhidmatan sewa khas (charter) telah dibuka.

Jelas beliau, ia sekali gus memastikan akses yang lebih baik, hubungan yang lebih kukuh, dan keyakinan yang lebih tinggi terhadap Malaysia sebagai destinasi pilihan.

“Ini adalah bukti nyata bahawa dunia kini memandang kita, bukan sekadar destinasi tetapi sebagai hab strategik untuk meneroka rantau ini, dengan akses, kedalaman budaya, dan nilai sebenar untuk pelancong global hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan bersempena Majlis Pra-Peluncuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-17 Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia UNESCO di perkarangan Stadthuys, di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau telah dibacakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad dan duta dan pesuruhjaya tinggi ke Malaysia; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain dif kehormat.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, menjelang Visit Malaysia 2026, kerajaan akan terus komited mempromosikan sektor pelancongan negara yang menjadi pemacu utama kepada kelestarian, keterangkuman dan kesiapsiagaan masa depan.

“Untuk berjaya, kita mesti bergerak secara strategik dan bersama-sama. Ini bermakna memperkukuh kerjasama awam-swasta, membentuk pemulihan pelancongan yang lebih inklusif dan berdaya tahan, dan meletakkan Malaysia sebagai hab pelancongan yang mesra, inovatif dan bersedia menghadapi masa depan,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

530
Kongsi :
Previous post WTD, WTC 2025 PELUANG WARISAN SENI, BUDAYA MELAKA MENYINAR
Next post AZIZAH IKON WANITA BEMBAN 2025