Sorting by

×

MALAYSIA MEMBANGUNKAN SEKTOR PELANCONGAN SECARA INKLUSIF DAN MAMPAN

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDA HILIR, 27 September – Malaysia sedang melabur dalam penghasilan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) sebagai usaha mengurangkan pelepasan karbon industri penerbangan kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, fasiliti pertama berasaskan biojisim dijangka beroperasi menjelang 2027, sekali gus mengembangkan lagi peluang industri hijau dan penciptaan pekerjaan baharu.

Katanya, langkah pelaburan dalam SAF melengkapkan agenda kerajaan untuk membangunkan sektor pelancongan yang inklusif, mampan dan berdaya tahan, sejajar dengan falsafah Malaysia MADANI yang menekankan kelestarian, inovasi, hormat, kesejahteraan dan kepercayaan.

“Pelancongan tidak boleh dikejar dengan sewenang-wenangnya. Ia mesti dibangunkan secara inklusif dan mampan, supaya manfaatnya dapat dinikmati bersama tanpa menjejaskan alam sekitar.

“Tiada satu negara mampu melakukan anjakan besar industri ini secara bersendirian, sebaliknya kerjasama serantau dan global amat penting demi masa depan pelancongan yang lebih lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Setiausaha Agung Pelancongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Tourism) Zurab Pololikashvili dan kenamaan lain.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Rahman Abdul Razak bersama barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Malaysia kini memberi tumpuan kepada pelancongan berasaskan alam semula jadi, pengembaraan, mesra Muslim, perubatan, kesihatan, hab nomad digital serta acara perniagaan.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan memanfaatkan kerjasama serantau untuk memperkukuh integrasi pelancongan, standard bersama serta rangka kerja kelestarian,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

500
Kongsi :
Previous post TUAN RUMAH WTD 2025, MELAKA SIMBOL WARISAN DUNIA
Next post CABARAN GLOBAL JEJASKAN DAYA SAING, MALAYSIA TAMPIL MODEL PELANCONGAN MAMPAN