
MALAYSIA TECHLYMPICS 2025 TARIK 1.8 JUTA PENYERTAAN SELURUH NEGARA, RAKAN SERANTAU
AYER KEROH 10 November – Malaysia Techlympics 2025 Peringkat Akhir Kebangsaan menerima lebih 1.8 juta penyertaan dari seluruh negara dan serantai melibatkan beberapa negara jiran sepanjang dua hari penganjurannya berlangsung.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, acara itu turut disertai rakan serantau dari Thailand, Indonesia, Kemboja dan China yang hadir sebagai peserta serta delegasi antarabangsa.
“Kehadiran peserta antarabangsa ini memperlihatkan potensi Malaysia sebagai hab pembangunan bakat teknologi di rantau ini.
“Ia sekali gus mengukuhkan kedudukan negara ini sebagai platform terbesar pencungkil bakat inovasi dalam kalangan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Malaysia Techlympics 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Program itu menghimpunkan lebih 1,200 pasukan terbaik yang bersaing dalam 35 kategori bagi peringkat akhir pertandingan, manakala seramai 36,000 pengunjung pula direkodkan bagi dua hari (9 dan 10 November) penganjuran acara itu di MITC.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


