
MARA SALUR HAMPIR RM25 JUTA PERKASA USAHAWAN BUMIPUTERA MELAKA
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata peruntukan itu memberikan manfaat secara langsung kepada hampir 1,000 usahawan wanita sejajar dengan usaha memperkukuh penyertaan golongan berkenaan dalam bidang ekonomi dan keusahawanan.
“Wanita bukan sahaja tonggak keluarga, malah turut menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara dengan lebih 5,000 usahawan wanita bumiputera aktif di Melaka dalam bidang makanan dan minuman, jahitan, kecantikan, peruncitan serta perkhidmatan digital.
“MARA sentiasa komited memperkasakan usahawan wanita melalui latihan, bimbingan, pembiayaan serta jaringan pasaran dalam dan luar negara. Kini lebih 20 peratus perniagaan di Malaysia dimiliki wanita, majoritinya usahawan bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.
Kenyataan itu dikeluarkan bersempena dengan Majlis Penutupan Program Pemerkasaan Wanita (PPW) MARA Kota Melaka dan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI yang diadakan di Dewan Besar, Kolej Profesional MARA (KPM) Bandar Melaka yang menghimpunkan 300 usahawan wanita daripada pelbagai sektor.
Program berkenaan turut menampilkan slot perkongsian kejayaan usahawan wanita MARA, bengkel literasi digital oleh OMG Academy, perkongsian inspirasi oleh usahawan berjaya serta ceramah motivasi kenegaraan oleh Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM).
Asyraf Wajdi berkata selain aktif dalam memberikan peruntukan dana dan geran kepada usahawan, MARA Melaka turut mengurus 39 projek premis perniagaan dengan 461 lot ruang sewa yang memberikan manfaat kepada 129 usahawan wanita untuk menjalankan perniagaan.
Beliau berkata kemudahan ini diyakini memberikan impak signifikan terhadap pembangunan ekonomi secara menyeluruh.
“Saya berharap pelaksanaan program seperti ini akan menjadi pemangkin kepada usahawan wanita untuk terus berkembang sehingga mampu menembusi pasaran global selaras dengan agenda Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang menekankan kesejahteraan rakyat secara inklusif dan seimbang,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.