
MASJID BAHARU BAKAL BERI KESELESAAN KEPADA 13,000 PENDUDUK BERTAM ULU
SUNGAI UDANG 13 November – Penduduk Bertam Ulu bakal menerima sebuah masjid baharu dengan kapasiti lebih besar bagi menampung pertambahan kariah di kawasan berkenaan.
Pengerusi Masjid Al-Ghufran Zaidi Mohd Said berkata pihaknya sebelum ini telah menghantar permohonan berhubung pembinaan masjid baharu dan kini sedang menunggu kelulusan rasmi yang dijangka dimaklumkan dalam masa terdekat.
Katanya, pembinaan masjid baharu sudah lama dirancang berikutan peningkatan jumlah penduduk dan jemaah yang semakin bertambah saban tahun.
“Pihak masjid telah membeli sebidang tanah berkeluasan lima ekar (2.03 hektar) dengan nilai RM1.138 juta di Kampung Bertam Ulu sebagai tapak pembinaan masjid baharu.
“Masjid dicadang dibina ini akan lebih luas, lengkap dengan pelbagai kemudahan serta mampu menampung sehingga 4,000 jemaah pada satu masa, berbanding Masjid Al-Ghufran sedia ada yang hanya boleh memuatkan sekitar 200 jemaah sahaja,”katanya.
Zaidi berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Van Jenazah Baharu daripada TNB kepada Masjid Al-Ghufran yang disaksikan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeiri (DUN) Sungai Udang Datuk Rais Yasin di perkarangan masjid berkenaan, di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Pegawai Retail TNB Retail, Datuk Kamal Arifin Kamal.
Mengulas lanjut, Zaidi berkata, pembelian tanah bagi pembinaan masjid baharu itu adalah hasil sumbangan orang ramai dan turut dibantu oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
“Insya-Allah, apabila siap kelak, masjid baharu ini akan memberi manfaat kepada lebih 13,000 penduduk sekitar Bertam Ulu,”katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


