Sorting by

×

MASJID BAHARU CHENG PERDANA AKHIRI PENANTIAN 20 TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PAYA RUMPUT 17 Februari – Selama 20 tahun, penduduk di kawasan Cheng menantikan terbinanya sebuah masjid baharu dan akhirnya impian itu direalisasikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin.

Ia selepas terbinanya masjid baharu di Taman Cheng Perdana yang dinamakan Masjid Saidina Abdul Al Rahman Ibn Auf R.A.

Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, istimewanya penyerahan masjid itu disempurnakan pada Karnival Demi Paya Rumput yang berlangsung pada 8 hingga 15 Februari.

“Inilah antara manifestasi seorang wakil rakyat yang benar-benar memahami keperluan rakyat dan merealisasikannya,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini bersempena Karnival Demi Paya Rumput.

Menurut Rais, selepas Cheng Perdana, pihaknya kini sedang dalam usaha merealisasikan pembinaan baharu Masjid As-Salam Tampoi yang ketika ini berdepan isu kepadatan jemaah.

“Dengan jumlah penduduk yang semakin bertambah, masjid sedia ada tidak lagi mampu menampung jemaah yang melimpah. Sebab itulah saya akan terus berusaha untuk memastikan pembinaan masjid ini direalisasikan,” ujarnya.

Masjid 2
MASJID Saidina Abdul Al Rahman Ibn Auf R.A di Cheng Perdana.

Dalam pada itu, Rais berkata, DUN Paya Rumput juga memiliki satu lagi mercu keagamaan baharu dengan pembinaan Kompleks As Solihin, Kampung Paya Rumput yang boleh menampung sehingga 4,000 jemaah selain menjadi medan pelbagai acara kerohanian dan pembelajaran agama.

Selain itu, katanya, kawasan ditadbirnya itu juga memiliki Masjid Tun Mohd Khalil Yaakob Tanjung Minyak yang merupakan masjid Parlimen Tangga Batu dan Masjid Ar-Rahman Tanah Merah Krubong yang merupakan masjid DUN Paya Rumput.

“Kita juga ada Masjid Cina Melaka di kawasan berhampiran Stadium Hang Jebat yang menjadi tarikan utama umat Islam dan pelancong, di mana saya sedang berusaha menjadikan masjid ini sebagai masjid kariah,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

399
Kongsi :
Previous post KENDERAAN BERAT DILARANG MASUK BANDAR MELAKA SELAMA 4 HARI
Next post TUN DR. MOHD ALI HADIR CERAPAN HILAL RAMADAN