
MASJID TANAH KAMPUNG KITA MAMPU JADI JENAMA HEBAT
LENDU 20 Disember – ‘Masjid Tanah Kampung Kita’ bukan sekadar nama program, sebaliknya perlu dilihat sebagai satu bentuk penjenamaan menggambarkan kehebatan penduduk di semua lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen ini.
Tokoh berpengalaman dalam bidang media dan komunikasi juga Ketua Pengarah Penyiaran, Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, penjenamaan yang hebat dan berkesan akan membuka ruang serta peluang ekonomi lebih baik.
Anak kelahiran Lubok China ini juga berasa bangga kerana diberi kesempatan untuk berkongsi pengalaman mengenai perjalanan kariernya hingga dilantik sebagai Ketua Pengarah Penyiaran.
“Penjemaan menjadikan kita sebagai individu perhatian ramai, orang sentiasa mahu tahu apa yang kita lakukan. Masjid Tanah Kampung Kita bukan hanya sedap disebut tetapi sebenarnya dekat di hati semua orang termasuk saya sendiri.
“Program kali ini sangat berjaya, kita boleh berkumpul berkongsi pengalaman dan berjumpa orang kampung. Saya sendiri hampir menitiskan air mata apabila berkesempatan berjumpa rakan arwah ayah di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Remaja Transformasi Parlimen (RENTAP) dan Bicara Tokoh 1 Jiwa 1 Impian bersempena Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Taman Rekreasi Bukit Beringin, semalam.
Menurutnya peluang berkongsi pengalaman menerusi platform Bicara Tokoh 1 Jiwa 1 Impian digunakan untuk memberikan inspirasi kepada warga Masjid Tanah khusus remaja dan belia.
“Paling penting untuk generasi akan datang kita kena beri mereka inspirasi, tanpa inspirasi kadang-kadang kita tidak nampak apa yang ada di depan.
“Inspirasi dan tokoh dijemput bersama saya kali ini mampu mencetuskan kekuatan dalam diri yang sebenarnya mungkin sudah ada tetapi kita tidak sedar, diharap apa yang dikongsi akan menjadi pegangan mereka yang mahu berjaya.
“Bukan hanya remaja individu berusia seperti saya juga terinspirasi apabila duduk sebaris dengan tokoh hebat seperti Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


