
MATTA FAIR MELAKA 2026 TAWAR LEBIH 150 PAKEJ PELANCONGAN MENARIK
BUKIT KATIL 6 April – MATTA Fair Melaka 2026 yang akan berlangsung 17 hingga 19 April ini di pusat beli-belah Mahkota Parade menawarkan lebih 150 pakej pelancongan dalam dan luar negara dengan tawaran harga berbaloi.
Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka Chapter Goh Hock Gin berkata, pihaknya menyasarkan hampir 20,000 pengunjung bakal memeriahkan program yang berlangsung selama tiga hari itu.
Katanya, lebih 70 pempamer tempatan dan reruai akan dibuka untuk mempromosikan produk serta perkhidmatan pelancongan dengan tawaran pakej-pakej percutian yang menarik.
“MATTA Fair Melaka 2026 ini merupakan ‘Premium Fair’ menjual pakej pelancongan terbesar di Melaka yang mempromosikan 14 sub sektor pelancongan negeri yang meliputi Sejarah; Budaya; Rekreasi; Sukan; Membeli-Belah; Konvensyen; Kesihatan; Pendidikan; Agro; Makan-Makan; Melaka Rumah Ke-2; Belia; Eko-Pelancongan dan Keagamaan.
“Acara tahunan ini kembali lebih meriah menerusi pelbagai tawaran menarik buat pengunjung, selain turut diadakan persembahan pentas, kuiz pelancongan serta penampilan maskot Tourism Malaysia iaitu Wira dan Manja sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya pada sidang media penganjuran MATTA Fair Melaka di Pejabat Sekretariat MATTA Melaka Chapter di Bukit Baru Utama, di sini, hari ini.
Hadir sama, Penolong Pengarah Tourism Malaysia Zon Selatan Norisyam Odzali dan Pengerusi Penganjur MATTA Fair Melaka Halimah Ahmad.
Lebih menarik, Hock Gin memaklumkan pengunjung yang berbelanja RM300 dan keatas di MATTA Fair Melaka 2026 juga layak menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM10,000
“Antara hadiah menarik ditawarkan adalah sebuah televisyen pintar 65 inci, tiket penerbangan ke Krabi dan Medan serta penginapan di hotel- hotel terkemuka.
“Kita optimis sambutan tahun ini akan lebih memberangsangkan dengan nilai jualan yang disasarkan berjumlah RM12juta ke RM15 juta,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


