Sorting by

×

MAYAT LELAKI DITEMUKAN MEREPUT DALAM KERETA DI PARKIR MITC

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 13 Januari – Mayat lelaki ditemui dalam keadaan mereput di dalam sebuah kereta yang diparkir di kawasan tempat letak kenderaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), petang tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam sekitar jam 1.48 petang yang memaklumkan mengenai bau busuk dari sebuah kereta jenis Nissan Almera selain kenderaan itu turut dikerumuni lalat.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Balai Polis Air Keroh bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Pasukan Forensik D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka telah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan mendapati mayat lelaki berusia 34 tahun ditemui meninggal dunia di bahagian tempat duduk pemandu dalam keadaan telah meremput.

“Turut ditemui di dalam kenderaan tersebut ialah sebuah bekas kaca yang mengandungi kesan pembakaran arang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Christopher berkata, pegawai perubatan yang hadir ke lokasi mengesahkan kematian mangsa sebelum mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk tujuan bedah siasat.

“Setakat ini, hasil siasatan awal tidak mendapati sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR).

“Namun, siasatan lanjut dari pelbagai sudut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian berkenaan bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

“Sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini, sila hubungi Balai Polis Air Keroh di talian 06-2321222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

508
Kongsi :
Previous post LELAKI MAUT, RAKAN CEDERA ALAT KIMPALAN MELETUP
Next post JAIM SERBU HOTEL ‘MESRA GAY’, PREMIS DITUTUP UNTUK SIASATAN