
MBMB BERI BANTUAN PERSEKOLAHAN KEPADA 200 PELAJAR
AYER KEROH 10 Januari – Seramai 200 pelajar dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menerima bantuan persekolahan sebagai aspek sokongan moral dan kemasyarakatan kepada komuniti setempat.
Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, jumlah pelajar tersebut melibatkan 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran MBMB.
Katanya, program tersebut merupakan acara tahunan yang dilihat memberi impak positif kepada perkembangan akademik dan sahsiah pelajar seterusnya membantu meringankan beban ibu bapa atau penjaga bagi memulakan sesi persekolahan 2026.
“Menerusi program ini, MBMB sentiasa cakna untuk terus membantu warga bandaraya yang kurang berkemampuan dalam membuat persiapan sesi persekolahan baharu anak-anak.
“Bantuan persekolahan ini bukan sahaja dilaksanakan oleh MBMB malahan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri, dan diharapkan usaha ini dapat diteruskan supaya masyarakat setempat dapat merasai perkhidmatan yang terbaik antara PBT dan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jom Ke Sekolah MBMB Tahun 2026 yang turut dihadiri Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman, di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, hari ini.
Pada majlis itu juga Zulkiflee menzahirkan penghargaan kepada penaja barangan persekolahan dan beg sekolah kepada pelajar yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah.
“Semoga tahun ini menjadi lembaran baharu lebih gemilang, dipenuhi iltizam, kemajuan dan kesejahteraan buat semua pelajar yang akan memulakan minggu persekolahan pada minggu hadapan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


