
MBMB FOKUS SEDIA FASILITI TERBAIK, TINGKAT KUALITI HIDUP WARGA BANDARAYA
AYER KEROH 2 Januari – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) terus memberikan tumpuan kepada usaha pembangunan projek baharu, naik taraf infrastruktur dan melaksanakan inisiatif bertujuan membantu memperkasa ekonomi peniaga kecil dalam kawasan pentadbirannya sepanjang tahun ini.
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, usaha itu adalah antara langkah berterusan pihaknya dalam menyediakan kemudahan yang berkualiti kepada orang ramai, sekali gus mewujudkan persekitaran mampan, hijau, bersih dan ceria.
Katanya, sebanyak RM37.4 juta diperuntukan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan cerun, menyelenggara sistem perparitan dan baik pulih bangunan milik MBMB.
“Aspek keceriaan juga diberikan tumpuan iaitu melalui pelaksanaan kerja-kerja landskap bagi mengindahkan lagi Bandaraya Melaka.
“Bagi mewujudkan suasana berkualiti MBMB akan melaksanakan naik taraf kemudahan bangunan milik kami seperti medan selera, gerai penjaja kecil, tandas awam serta membina baharu beberapa fasiliti yang diperlukan seperti gelanggang futsal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam video Amanat Tahun Baharu 2026 MBMB dikongsi di laman Facebook rasmi MBMB kelmarin.
Mengulas lanjut, Shadan berharap projek-projek yang dirangka itu dapat membantu merancakkan sektor ekonomi penjaja dan peniaga kecil sekitar Bandaraya Melaka.
“Semoga dengan pelbagai fasiliti baharu dan kemudahan awam yang dirancang pada tahun dapat memberi keselesaan dan limpahan ekonomi juga kepada golongan peniaga dan amnya kepada warga bandaraya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

