Sorting by

×

MBMB HARGAI PENGAYUH BECA JUJUR, TINGKAT IMEJ MELAKA DI MATA PELANCONG

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 7 Januari – Sikap jujur seorang pengayuh beca yang memulangkan semula dompet milik pengunjung mengandungi wang tunai melebihi RM500 mendapat penghargaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, pihaknya turun padang bagi menyampaikan penghargaan kepada pengayuh beca berkenaan sebagai tanda terima kasih atas nilai murni yang ditunjukkan.

Menurutnya, pengayuh beca terbabit dikenali sebagai Ridwan, menemui dompet milik seorang pengunjung yang tertinggal di becanya sebelum mengambil inisiatif mengesan pemilik melalui perkongsian di media sosial.

“Pengayuh beca ini bukan sahaja jujur, malah berusaha menghubungi pemilik dompet dengan memuat naik maklumat di media sosial sehingga pelancong berkenaan tampil menuntut semula barangan miliknya.

“Tindakan berkenaan membuktikan bukan sahaja Melaka sebuah negeri yang selamat, malah masyarakatnya juga memiliki tahap integriti yang tinggi.

“Sikap jujur ini bukan sahaja membantu imej pengayuh beca, tetapi turut mengharumkan imej Negeri Melaka di mata pelancong,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Pejabat MBMB.

Shadan berharap sikap sebegitu perlu diamalkan oleh pengayuh beca yang lain kerana apabila pelancong berada di Melaka, mereka bukan sahaja berasa selamat, malah turut yakin dengan tahap kejujuran masyarakat setempat.

“Sikap terpuji ini diharap dapat dijadikan contoh oleh pengayuh beca lain serta masyarakat umum, sekali gus memperkukuh imej Melaka sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan berintegriti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

533
Kongsi :
Previous post INFRASTRUKTUR SOKONGAN BAKAL TINGKAT HASIL PADI DI KLEBANG
Next post REMAJA LELAKI DITEMUKAN TIDAK SEDAR DIRI DI BILIK AIR