
MBMB IKTIRAF SUMBANGAN PENGAMAL MEDIA, KOMUNITI
BANDARAYA MELAKA 14 Ogos – Lebih 200 wakil pengamal media Melaka dan komuniti diraikan pada Majlis Apresiasi Media dan Komuniti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) 2025 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata majlis apresiasi tahunan itu bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya pengiktirafan terhadap sumbangan besar pengamal media dan komuniti dalam memastikan kelancaran penyampaian maklumat serta kejayaan pelbagai program sosial yang dilaksanakan MBMB.
“Kerjasama dua hala ini amat penting bagi memastikan maklumat yang tepat, pantas dan bertanggungjawab sampai kepada masyarakat.
“Media bukan sahaja berfungsi sebagai saluran komunikasi, malah menjadi jambatan penghubung antara MBMB dan rakyat dengan merakamkan penceritaan, liputan berita serta program yang dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.
Malam itu turut menyaksikan wakil media dan komuniti setempat menerima penghargaan di atas usaha memperkukuh jalinan silaturahim, memperluaskan capaian maklumat dan membawa impak positif kepada masyarakat keseluruhan.
Mengulas lanjut, Rais turut mengingatkan bahawa dalam era gajet di hujung jari, media sosial berperanan besar membentuk pola fikir dan budaya masyarakat, justeru wartawan perlu menjadi penjaga fakta tanpa menokok tambah maklumat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.