
MBMB LAKUKAN KAJIAN DI BEBERAPA LOKASI ATASI KESESAKAN
KOTA LAKSAMANA 13 Jun – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sedang mengenal pasti beberapa lagi lokasi di bawah kawasan pentadbirannya yang akan dilaksanakan penguraian trafik bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, lokasi dikenal pasti itu adalah laluan yang sering kali berlakunya kesesakan aliran trafik terutamanya pada waktu puncak.
“Antara penguraian trafik yang sudah dilakukan adalah di kawasan Banda Hilir membabitkan ‘no right turn’ di persimpangan Mahkota Medical Centre (MMC) yang kini aliran trafik sudah lancar.
“Sekarang ini kita beralih ke Kota Syahbandar dan diharap dengan adanya jalan sambungan baharu ini ia dapat mengatasi masalah kesesakan.
“Malah terdapat beberapa lagi lokasi lain yang MBMB sedang melakukan kajian untuk melihat semula bagi pelaksanaan penguraian trafik mengatasi masalah kesesakan yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambungan Jalan Di Lebuh Raya Persisir Pantai Yang Menghubungkan Jalan Kota Syahbandar Ke Taman Straits Courtyard, yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sini, semalam.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana, Low Chee Leong; barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan Pengarah Urusan Parkland Group, Datuk Victor Tan.
Menurut Shadan, pembukaan sambungan jalan menghubungkan Jalan Kota Syahbandar ke Taman Straits Courtyard itu juga bakal merancakkan lagi ekonomi setempat.
“Ini antara idea Ketua Menteri sendiri yang melihat dengan adanya jalan baharu ini ia boleh mengembangkan ekonomi di kawasan ini dengan lebih cepat memandangkan laluan ini menghubungkan Kota Laksamana ke Klebang.
“Malah saya juga yakin pembukaan laluan ini secara tidak langsung dapat mencambahkan ekonomi setempat dan dapat meringankan kesesakan ketika hujung minggu apabila pengguna jalan raya mempunyai jalan alternatif untuk dilalui sama ada untuk ke Banda Hilir mahupun ke arah Klebang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.