
MBMB PANTAU ISU PARKIR BAZAR AIDILFITRI
AYER KEROH 9 Februari – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan mempertingkat pemantauan pengurusan parkir kenderaan di kawasan Bazar Aidilfitri bagi memastikan kelancaran trafik serta keselesaan pengunjung.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman, berkata secara keseluruhan, dua Bazar Aidilfitri yang beroperasi di bawah pentadbiran MBMB, iaitu di Kelebang dan Bandar Hilir, dijangka menjadi tumpuan ramai, selain isu parkir sering menjadi pertikaian di lokasi berkenaan.
Berikutan itu, katanya, pihaknya telah meminta penganjur menyediakan anggota yang mencukupi bagi memastikan kelancaran pengurusan kawasan parkir.
“Kita sedia maklum bahawa Bazar Aidilfitri di Klebang dan Bandar Hilir menjadi tumpuan pengunjung. Sebenarnya, kawasan parkir di lokasi-lokasi ini adalah mencukupi, namun kesesakan sering berlaku apabila pengunjung memilih untuk meletakkan kenderaan di tempat yang paling hampir dengan bazar.
“Sekiranya terdapat pengurusan parkir yang teratur, termasuk penglibatan sukarelawan dan anggota berkaitan, saya yakin isu parkir ini dapat diatasi dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Taklimat Penganjuran Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri Negeri Melaka Tahun 2026 di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, pada Jumaat.
Mengulas mengenai kutipan caj parkir di kawasan tertentu seperti Bazar Aidilfitri di Kelebang, Shadan berkata ia dikendalikan oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang telah diberikan permit oleh MBMB dan bukannya oleh penganjur bazar.
“Kebenaran ini diberikan bagi memastikan kenderaan tidak diletakkan secara berlapis atau sesuka hati sehingga menjejaskan kelancaran trafik di kawasan sekitar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


