Sorting by

×

MBMB PERINTIS TONG SAMPAH PINTAR PERTAMA DALAM NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 10 April – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Malaysia yang memperkenalkan tong sampah pintar berkuasa solar atau ‘smart bin’ hasil inovasi anggotanya.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, inisiatif itu membuktikan keupayaan MBMB memperkenalkan penyelesaian pintar bagi menangani isu sampah melimpah di lokasi tumpuan sekitar dalam pentadbirannya.

Katanya, sebanyak lapan unit smart bin ditempatkan di lokasi strategik termasuk kawasan tumpuan utama pelancong sekitar Banda Hilir.

“Ini merupakan inovasi pertama di Malaysia yang dibangunkan sepenuhnya oleh anggota MBMB sendiri dalam tempoh kira-kira tiga bulan.

“Inovasi ini bukan sahaja menggantikan tong sampah konvensional, malah dilengkapi teknologi pemampatan dan sistem notifikasi kepada penguatkuasa atau petugas sekiranya tong sampah itu hampir penuh.

“Dengan sistem ‘compress’ kapasiti tong dapat ditingkatkan dan mampu menampung sehingga lebih 20 kilogram (kg) sampah bergantung kepada jenis bahan seperti tin, plastik dan kotak minuman,”katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shadan berkata, penggunaan teknologi itu mampu mengatasi masalah tong sampah melimpah yang sering berlaku terutama pada hujung minggu dan musim cuti.

Tambahnya, ‘smart bin’ berkenaan turut menggunakan tenaga solar sepenuhnya, sekali gus menyokong inisiatif bandar pintar dan kelestarian alam sekitar.

“Reka bentuk tong yang lebih kukuh menggunakan pelindung keluli tahan karat juga mampu mengelakkan kerosakan akibat terdedah kepada hujan dan panas selain menghalang gangguan haiwan liar.

“Dengan kelebihan ini, MBMB bukan sahaja meningkatkan tahap kebersihan bandar, malah meletakkan Melaka sebagai peneraju dalam penggunaan teknologi pintar di peringkat PBT dalam negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

353
Kongsi :
Previous post YB ALONG BANTU REALISASIKAN IMPIAN ORANG ASAHAN MILIKI RUMAH
Next post DARI THREAD KE REALITI: TPM MERIAHKAN RUMAH TERBUKA MeSRa DI DUYONG