Sorting by

×

MBMB RANGKA NAIK TARAF KOMPREHENSIF PASAR WILAYAH KOTA LAKSAMANA

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

SERI NEGERI 21 Julai – Kerajaan Negeri komited membangunkan infrastruktur awam inklusif, mampan dan berdaya tahan menerusi pelan strategik menaik taraf Pasar Wilayah Kota Laksamana Fasa 2.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin (BN-Paya Rumput) berkata pasar tersebut menempatkan 45 lot niaga, namun hanya 25 sahaja yang aktif.

Katanya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah merangka pelan naik taraf komprehensif berasaskan prinsip pembangunan mampan, selaras dengan Rancangan Tempatan MBMB 2035 dan Pelan Bandar Rendah Karbon.

“MBMB mengenal pasti Pasar Wilayah Kota Laksamana ini memerlukan intervensi menyeluruh berikutan pelbagai isu ketidakselesaan fizikal dan ketidakcekapan fungsi, termasuk kebocoran bumbung, sistem saliran tersumbat serta kerosakan utiliti asas.

“Antara skop kerja dirancang termasuk pembaikan struktur bangunan dan bumbung, naik taraf sistem saliran dan sanitasi, pembaharuan sistem elektrik dan paip air, penstrukturan semula ruang niaga dan laluan pengguna serta peningkatan kemudahan asas seperti tandas, pencahayaan selain akses lebih mesra orang kurang upaya (OKU).

“Fasa 1 telah siap dilaksanakan dan semua peniaga kembali menjalan operasi, Fasa 2 kini dalam proses penilaian teknikal,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) mengenai status terkini serta perancangan jangka pendek dan panjang MBMB berkaitan usaha baik pulih Pasar Wilayah Kota Laksamana Fasa 2 pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata kos keseluruhan dijangka dibiayai melalui peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan tempoh pelaksanaan diunjurkan antara 12 hingga 18 bulan.

“Setakat ini, KPKT telah menyalurkan RM500,000 bagi Fasa 1 dan RM450,000 untuk Fasa 2 projek ini.

“Strategi jangka panjang ke arah pasar moden dan mampan turut dirangka meliputi aspek seperti pengurusan Sisa Pintar (pengasingan di punca, kompos organik, tong pintar IoT); penyelenggaraan Inklusif dan Cekap (penjadualan digital, reka bentuk modular, libat urus komuniti); Reka Bentuk Hijau dan Teknologi Mesra Alam (panel solar, tadahan air hujan, bahan binaan lestari).

“MBMB turut menyasarkan model pembiayaan campuran jangka panjang melalui kerjasama strategik, termasuk pendekatan Kerjasama Awam-Swasta (PPP) dan pembangunan bersama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

323
Kongsi :
Previous post PROJEK PEJABAT MBMB DIBATALKAN, MASIH DALAM TINDAKAN MAHKAMAH
Next post LEBIH 890,000 ANAK MELAKA TERIMA BANTUAN PENDIDIKAN TAPEM