
MBMB SAHUT GAGASAN MELAKA SAYANG RAKYAT, CERIAKAN 250 WARGA BANDARAYA
BANDA HILIR 6 April – Seramai 250 orang dari 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menerima sumbangan barangan elektrik dan keperluan harian dalam Majlis Santuni Kasih Aidilfitri sempena Sambutan Ulang Tahun ke-23 MBMB.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, sumbangan itu merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) hasil kerjasama antara MBMB dan Intrinseque Health (Malaysia) Sdn. Bhd.
“Program ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang menetapkan tahun 2026 sebagai Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Memperkukuh Prestasi di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).
“Ketua Menteri turut menekankan agar semua agensi kerajaan dan swasta berganding bahu dalam menggerakkan inisiatif CSR secara lebih proaktif sebagai sokongan kepada usaha kerajaan negeri dalam mensejahterakan rakyat.
“Saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kerana MBMB bersama pihak Intrinseque telah menyahut saranan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santuni Kasih Aidilfitri sempena Sambutan Ulang Tahun ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah di Pekarangan Intrinseque Health, Jalan Portugis, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Sementara itu, Rais turut berharap agar sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban penerima serta mengukir senyuman kasih sayang dalam kalangan masyarakat, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


