Sorting by

×

MBMB SAMBUT BAIK SARANAN KETUA MENTERI JAGA KEBAJIKAN PENJAJA, PENIAGA KECIL

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 1 Julai – Penjaja dan peniaga kecil di beberapa tapak perniagaan yang terjejas akibat kejadian ribut 28 Jun lalu menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang prihatin dan cakna terhadap nasib mereka.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, mengambil kira tempoh masa sukar ditempuh penjaja dan peniaga kecil susulan bencana berlaku, pihaknya bersetuju dengan saranan Ketua Menteri bagi memberi pengecualian bayaran lesen perniagaan selama tiga bulan.

Shadan berkata, inisiatif itu memberi manfaat kepada lebih 1,300 penjaja dan peniaga kecil yang mencari rezeki di beberapa tapak perniagaan dalam kawasan pentadbiran MBMB.

“Inisiatif ini adalah bukti keprihatinan Kerajaan Negeri yang begitu serius menjaga kebajikan rakyat, khususnya penjaja dan peniaga kecil yang terkesan akibat bencana ribut.

“Saya telah panjangkan arahan tersebut kepada semua penganjur dan rata-rata mereka menyambut baik serta menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri atas keprihatinan beliau,” katanya ketika wawancara khas bersama Melaka Hari Ini di pejabatnya di Bangunan Graha Makmur MBMB, di sini, hari ini.

Katanya, insentif pengecualian lesen itu melibatkan peniaga kendalian 10 penganjur utama antaranya Jonker Walk (500 ), Uptown Klebang Walk (280), Uptown Pahlawan Walk (195), Medan Samudera (80), Floating Market (80), Vintage Night Market (80), Tun Teja (50), Harbour Street Market (50), Tun Mamat Kampung Morten (40) dan Taman Bunga Merdeka (30).

“Langkah ini diharap dapat meringankan beban penjaja dan membantu mereka memulihkan semula operasi perniagaan yang terjejas.

“MBMB akan terus memantau keadaan dan menyediakan bantuan sewajarnya kepada mana-mana peniaga yang memerlukan, selaras dengan dasar Kerajaan Negeri yang mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

617
Kongsi :
Previous post MPJ NOKTAHKAN PENANTIAN PEMOHON BANTUAN BAIK PULIH RUMAH
Next post JKKN SANTUNI MASYARAKAT MENERUSI PROGRAM MERAKYATKAN SENI BUDAYA @KOMUNITI