Sorting by

×

MBMB SEKALI LAGI LAKAR SEJARAH, TERIMA ANUGERAH BANDAR PELANCONGAN BERSIH ASEAN

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 6 Januari – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) terus melakar pencapaian membanggakan apabila dianugerahkan ‘ASEAN Clean Tourist City Award’ sempena ASEAN Tourism Awards 2026.

Ia merupakan pengiktirafan kedua diraih MBMB selepas turut menerima anugerah ‘Clean Tourist City Standard’ di Vientiane, Laos, 26 Januari 2024 yang lalu.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman memaklumkan, anugerah tersebut bakal diterima MBMB pada satu majlis yang diadakan di Cebu, Filipina, 30 Januari ini.

Jelas beliau, anugerah itu melayakkan MBMB menerima pengiktirafan di bawah kategori ‘ASEAN Tourism Standards 2026–2027’ sekali gus meletakkan satu penanda aras pengurusan bandaraya Melaka di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, pengiktirafan kali kedua itu juga membuktikan konsistensi usaha berterusan MBMB dalam memastikan kebersihan dan pengurusan bandaraya berada pada tahap terbaik.

“Seluruh warga kerja MBMB merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh serta komitmen Kerajaan Negeri yang sentiasa memberi sokongan padu kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini untuk terus bekerja secara berkesan.

“Anugerah ini amat penting kerana ia meletakkan standard Melaka di peringkat antarabangsa serta menjadi rujukan melalui liputan media dan platform digital,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Pejabat MBMB, di sini, hari ini.

Shadan berkata, pencalonan tersebut dibuat selepas MBMB berjaya memenuhi semua kriteria ASEAN Tourism Standards 2020–2027 yang diperakukan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Antara penambahbaikan berterusan dilaksanakan termasuk memastikan Bandaraya Melaka bukan sahaja bersih dan terurus, malah berfungsi secara sistematik serta berteraskan penggunaan teknologi moden selari dengan keperluan bandar pelancongan bertaraf dunia.

“Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri dalam memperkukuh aspek kebersihan, kelestarian dan imej Melaka sebagai destinasi pelancongan antarabangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3131
Kongsi :
Previous post MBMB PANTAU PANTAI KLEBANG, ELAK ‘ULAT PARKIR’ BERLELUASA
Next post PERZIM SASAR 700,000 KUNJUNGI MUZIUM MELAKA TAHUN INI