Sorting by

×

MBMB TELITI BANTUAN TAMBAHAN MANGSA INSIDEN POKOK TUMBANG

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BUKIT KATIL 7 Disember – Kerajaan Negeri mengarahkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menjalankan siasatan terperinci serta memastikan semua pokok berisiko tinggi diperiksa segera susulan insiden pokok tumbang yang meragut nyawa.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, berkata insiden menyayat hati itu mengakibatkan seorang maut dan seorang lagi mangsa cedera.

“Pokok-pokok besar dan berisiko tinggi ini telah diinsuranskan. Mangsa boleh membuat tuntutan insurans.

“Kerajaan Negeri melalui MBMB juga akan meneliti bentuk bantuan tambahan yang wajar disalurkan kepada keluarga mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Fun Walk bertemakan ‘Melangkah Laju, Integriti Padu’ sempena Sambutan Hari Integriti dan Hari Anti Rasuah Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2025 bersama Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran MBMB, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata meskipun aktiviti penyelenggaraan pokok dilakukan secara berkala, faktor cuaca tidak menentu dan perubahan iklim turut menjadi punca risiko pokok tumbang.

“Insiden ini bukan sahaja disebabkan pokok tua, tetapi cuaca juga memainkan peranan. Pokok-pokok ini telah ditandakan mengikut usia dan tahap keselamatan.

“Selepas kejadian ini, saya telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan memeriksa segera pokok-pokok yang berpotensi membahayakan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan insiden pokok tumbang di Jalan Tun Razak, Ayer Keroh, mengakibatkan seorang lelaki penunggang motosikal maut manakala seorang wanita cedera apabila keretanya dihempap pokok berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

755
Kongsi :
Previous post WRUR BUKIT KATIL PENANDA ARAS ‘DEMI RAKYAT UNTUK RAKYAT’
Next post WRUR BUKAN PROGRAM RETORIK POLITIK – ADLY