Sorting by

×

MCORP FOKUS DUA TANGGUNGJAWAB BESAR 2026

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 13 Januari – Perbadanan Melaka (MCORP) memberi tumpuan kepada dua tanggungjawab besar sepanjang 2026 iaitu memastikan kelangsungan prestasi korporat yang mampan serta melaksanakan amanah pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif MCORP Datuk Mohd Yusof Abu Bakar berkata, enjin pentadbiran Kerajaan Negeri adalah penjawat awam yang perlu kekal berpegang kepada matlamat utama iaitu keutamaan rakyat dan kebajikan tanpa terpengaruh dengan anasir luar.

Menurutnya, tanggungjawab pertama MCORP adalah memastikan organisasi dan anak-anak syarikat terus beroperasi dengan baik sejajar dengan objektif penubuhan MCORP.

“Di MCORP, kita perlu memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan termasuk oleh anak-anak syarikat berada dalam kedudukan kewangan yang kukuh.

“Sekurang-kurangnya syarikat kita mampu menjana keuntungan dan berdaya saing biarpun bukan keuntungan secara terus kepada MCORP,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Peringkat MCORP Bersama Kumpulan Syarikat di Hotel MITC, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi MCORP Muhammad Ridzwan Yap Abdullah serta barisan pengurusan tertinggi MCORP dan anak-anak syarikat.

Mohd Yusof berkata, tanggungjawab kedua pula adalah amanah kepada Kerajaan Negeri yang memerlukan MCORP melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan yang memberi manfaat kepada negeri dan rakyat.

“Sebagai agensi pelaburan negeri, kita diberi mandat untuk memastikan sasaran pelaburan Kerajaan Negeri tercapai.

“Kita perlu mempunyai strategi yang baik kerana semua negeri dan negara kini bersaing menarik pelabur masing-masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

430
Kongsi :
Previous post TINGKAT TAHAP KESELAMATAN BANDARAYA, MBMB TAMBAH LEBIH 20 CCTV
Next post GUNTING RAMBUT PERCUMA MANFAATKAN 260 ANAK-ANAK DUN BEMBAN