Sorting by

×

MCORP MAHU INISIATIF DILAKSANA BERI FAEDAH, TEMPIAS KEPADA RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 7 Ogos – Perbadanan Melaka (MCORP) mahu setiap projek atau inisiatif dilaksanakan memberikan impak, faedah dan tempias kepada penduduk di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MCORP, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar berkata, hasrat itu seiring matlamat MCORP untuk menjadi pemacu pembangunan negeri yang holistik dan berintegriti.

“Semua warga kerja perlu menanam niat dan kesedaran bahawa tugas yang dipikul bukan semata-mata untuk keuntungan peribadi, tetapi lebih besar lagi iaitu demi manfaat rakyat.

“Kita perlu ada niat untuk menyumbang kepada orang ramai. Lihat syarikat swasta yang berjaya, kebanyakannya fokus kepada program komuniti dan menyelesaikan masalah masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan MCORP Bagi Bulan Ogos 2025 bersama Kumpulan Syarikat di Galeri MCORP, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad, Datuk Ginie Lim Siew Lin dan Ketua Pegawai Operasi MCORP, Muhammad Ridzwan Yap Abdullah.

Menurut beliau, MCORP perlu kekal relevan dan bersaing dalam situasi semasa dengan mengekalkan kekuatan organisasi, selain mengelak daripada terjebak dalam isu integriti dan kepentingan diri.

“MCORP adalah milik syarikat dan masyarakat, bukan milik individu. Apa sahaja yang kita lakukan, biarlah ia memberi nilai tambah kepada rakyat. Justeru itu pentingnya penekanan terhadap nilai kasih sayang dalam hubungan bersama masyarakat.

“Apa sahaja projek kita bangunkan, niat utama mesti jelas untuk membantu masyarakat dan selesaikan keperluan mereka. Itulah misi utama kita di MCORP,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

420
Kongsi :
Previous post JALAN SEHALA ALTERNATIF SELESAI RUNGUTAN PENDUDUK
Next post KUM LAKSANA MANDAT KERAJAAN NEGERI, BINA ‘TIANG KONGSI SAMA’