
MEDAN KRAFTANGAN TAMAN BOTANIKAL TAWAR PELBAGAI PILIHAN UNTUK PENGUNJUNG, PELANCONG
AYER KEROH 15 Januari – Menempatkan lebih 15 gerai dengan pelbagai pilihan kraftangan dan cenderamata untuk dibawa pulang sebagai ‘tanda’ kunjungan ke negeri Hang Tuah, menjadikan Medan Kraftangan Taman Botanikal, lokasi wajib singgah dalam kalangan pengunjung serta pelancongan ke Melaka.
Lokasinya juga amat strategik kerana terletak berhampiran Zoo Melaka, Muzium Orang Asli dan beberapa lagi tarikan, selain tidak jauh dari Plaza Tol Ayer Keroh yang menjadi antara pintu keluar masuk utama di Melaka.
Kepada yang mengidam untuk menjamah produk warisan Melaka seperti cencaluk, inang-inang, dodol atau belacan bagi melazatkan lagi hidangan, jangan risau kerana semuanya ada di Medan Kraftangan Taman Botanikal.

Bagi peniaga kraftangan Ahmad Shukri Mahussin, 64, dia menawarkan lebih 500 produk kraf berasaskan rotan, buluh, mengkuang dan cengkerang pada harga amat berpatutan.
“Alhamdulillah sudah 10 tahun saya bertapak di medan kraftangan ini, lokasi stategik berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh dan tarikan lain menjadikan medan ini popular dalam kalangan pengunjung serta pelancong luar Melaka,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Muhammad Ammar Muhamaad, 29, berkata, meskipun menawarkan produk hampir sama tetapi setiap gerai memiliki tarikan yang tersendiri untuk memikat pelanggan.
Dia mengakui lokasi berkenaan tidak popular jika dibandingkan destinasi tarikan di Banda Hilir, namun hasil promosi pelancongan berterusan dilaksanakan Kerajaan Negeri pengunjungg singgah ke Medan Kraftangan Taman Botanikal kini semakin meningkat.
“Bagi mereka yang ingin mencari produk buatan orang kampung atau Bumiputera, Medan Kraftangan Taman Botanikal pilihan yang tepat untuk dikunjungi sebelum pulang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


