
MEDIA IBARAT ‘TEMBOK’ DI SEBALIK KEJAYAAN MELAKA
BANDARAYA MELAKA 14 Mac – Di sebalik pelbagai kejayaan dikecap Melaka sepanjang tiga tahun ini, berdirinya sosok pengamal-pengamal media yang telah memainkan peranan cukup besar.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, media di Melaka tidak dianggap sebagai instrumen, sebaliknya diangkat sebagai ‘partner in progress’ dalam memajukan Melaka.
Justeru, beliau menzahirkan ucapan terima kasih di atas kerjasama dan kesepakatan yang diberi oleh para pengamal media sehingga Melaka berjaya menjadi negeri contoh dalam pelbagai dasar yang dibawa.
“Jika penjawat awam menjadi tiang seri, pengamal media adalah ‘dinding’ dan ‘tembok’ yang memperkukuhkan Negeri Melaka sehingga mencapai pelbagai kejayaan.
“Pada tanggal 31 Mac ini, genap tiga tahun saya menjadi ketua negeri dan saya menganggap anda-anda semua (pengamal media) sebagai rakan strategik dalam membantu membina Melaka ke arah lebih baik.
“Saya akan bersungguh-sungguh untuk membuktikan bahawa Melaka adalah contoh negeri terbaik dalam pelbagai sudut baik pelancongan, pelaburan mahupun perpaduan dan keharmonian rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Moreh Ketua Menteri Bersama Media Melaka di sebuah restoran, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Melaka Siti Nurbaini Khairi; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini Sdn Bhd Nasharuddin Muhammad; Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Melaka Mazli Hamdan; Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) Amir Mamat serta kenamaan lain.
Sementara itu, bercakap dalam sidang media, Ab Rauf berkata, pelbagai dasar dan inisiatif telah berjaya sampai kepada rakyat hasil keringat dan penulisan yang disampaikan oleh para pengamal media.
Mengambil contoh inisiatif merakyatkan pentadbiran Kerajaan Negeri menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT), ujar beliau, ia telah mendapat pujian kerana berjaya menyelesaikan pelbagai isu dan masalah, di mana, hebahan mengenainya adalah daripada berita yang disiarkan.
“Peranan media dalam menyiarkan berita dan memberi pandangan daripada dasar-dasar yang dibawa ini amat baik sehinggakan ia mendapat perhatian dan pujian rakyat.
“Sejujurnya, sebagai pemimpin untuk mengurus negeri, adalah mustahil untuk saya berjumpa setiap rakyat Melaka, tetapi menerusi peranan media, setiap inisiatif dan dasar yang dibawa dapat sampai terus kepada rakyat. Jadi, terima kasih saya ucapkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


