
MELAHIRKAN PEMIMPIN BERKARISMA
KLEBANG 9 Oktober – Bukan sekadar mahu melahirkan pemimpin pelapis berkualiti, tetapi membentuk belia dengan ciri keyakinan diri yang tinggi dan berkarisma menjadi antara fokus utama Kerajaan Negeri Melaka.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, melahirkan pemimpin pelapis berkarisma adalah sama penting dengan kecemerlangan akademik yang juga keutamaan Kerajaan Negeri.
Katanya, sehubungan itu penganjuran Program Pembangunan Pemimpin Pelapis bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang amat penting dalam membentuk belia anak jati Melaka yang berkualiti.
“Kita tidak mahu ketandusan pemimpin muda berkualiti, kepimpinan yang ada sekarang apabila tiba masanya akan bersara. Program seumpama ini amat penting untuk membuka mata belia anak jati Melaka mengenai tanggungjawab dan peranan mereka sebagai pemimpin pada masa akan datang.
“Menerusi program ini anak muda didedahkan dengan pelbagai aspek bagi membantu menyuburkan lagi perpaduan dan meningkatkan tahap semangat patriotisme dalam kalangan anak jati Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pembangunan Pemimpin Pelapis bersempena program WRUR DUN Klebang di Japerun Klebang, di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP), Prof. Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah.
Terdahulu program anjuran ITP bersama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Pejabat Daerah Melaka Tengah itu melibatkan seramai 200 pelajar sekolah menengah sekitar DUN Klebang.
Hee Sem yang juga Adun Machap Jaya berkata, program berkenaan umpama perisai bagi melindungi anak muda daripada terus hanyut atau terlalu leka dengan dunia digital akibat terlalu banyak menghabiskan masa dengan bermain gajet.
“Kita tidak mahu sampai anak muda sudah tidak minat untuk ambil tahu mengenai tanggungjawab mereka kepada negeri dan negara. Apa yang disampaikan sepanjang program ini berguna sepanjang hayat terutama selepas melangkah ke alam pekerjaan.
“Apa yang dikongsi juga boleh diaplikasikan apabila belia ini aktif bersama persatuan atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.