Sorting by

×

MELAKA ANGKAT KEHEBATAN TENTERA, MEDAN SEMAI SEMANGAT PATRIOTIK

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

KLEBANG 25 Januari – Penganjuran pelbagai program berskala besar bersama unit beruniform menjadikan Melaka sebagai antara negeri yang menzahirkan komitmen tinggi dalam menyemai semangat patriotik.

Ia dapat dilihat menerusi beberapa siri penganjuran berskala besar umpamanya Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas Ke-60 pada Disember lalu serta Karnival Tentera Bersama Rakyat yang diadakan bermula 21 Januari dan berakhir hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program-program itu bukan sahaja mampu mengeratkan hubungan antara pasukan keselamatan dan masyarakat, tetapi ia secara langsung dapat menyemai semangat patriotisme.

Pada masa sama, ujar beliau, acara berkenaan juga berupaya menimbulkan kesedaran terhadap peri pentingnya pertahanan negara dalam kalangan rakyat.

“Hakikatnya, ini juga adalah usaha kita yang cuba sedaya upaya mengangkat pengorbanan dan kehebatan warga tentera untuk menjadi tatapan masyarakat.

“Selain itu, usaha ini juga selaras dengan tekad kerajaan negeri di bawah prinsip Melaka Sayang Rakyat (MeSRa), sebuah gagasan yang berteraskan kasih, kepedulian dan kesejahteraan rakyat, demi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, untuk rakyat dan bersama rakyat.

“Justeru, saya berharap agar kerjasama strategik yang lebih erat antara Kerajaan Negeri dan pasukan keselamatan dapat terus diperkukuh dari semasa ke semasa, khususnya dalam usaha bersama membina Melaka yang aman dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Upacara Penutup Kursus Asas Komando Siri AK3/2025 di Persiaran Encore Melaka, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) Mejar Jeneral Datuk Ahmad Shuhaimi Mat Wajab; Ketua Staf 21 GGK Brigedier Jeneral Mohd Musyadi Abdul Mutalib; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, Kursus Asas Komando Siri AK3/2025 telah bermula pada 3 November tahun lalu dan ia telah melibatkan penyertaan lebih 200 anggota Angkatan Tentera Darat Malaysia.

Ujar beliau, daripada jumlah itu, hanya 50 anggota merangkumi lapan pegawai dan 42 anggota lain-lain pangkat telah berjaya menamatkan kursus berkenaan.

“Saya yakin dan akui, kejayaan yang kalian tempa hari ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ia menuntut pengorbanan keringat dan air mata, disiplin yang tinggi, ketahanan fizikal dan mental yang berterusan, serta semangat juang yang konsisten sepanjang latihan.

“Untuk itu, manfaatkan lah segala ilmu, pengalaman dan semangat yang diperoleh sepanjang kursus ini dalam setiap tugasan yang kalian laksanakan. Jadikan ia sebagai pegangan dalam mempertahan keselamatan dan memperjuangkan kedaulatan negara,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

703
Kongsi :
Previous post MPAG JIMAT KOS ELEKTRIK 51 PERATUS SEBULAN MELALUI TENAGA SOLAR
Next post MELAKA SEDIA DEKATKAN UNIT BERUNIFORM DENGAN RAKYAT