
MELAKA ANGKAT SUKAN TRADISIONAL SEBAGAI KHAZANAH BUDAYA
PENGKALAN BATU 6 Disember – Penganjuran Kejohanan Sukan Tradisional Tun Teja Piala YAB Ketua Menteri Melaka akan diteruskan dalam usaha Kerajaan Negeri memelihara permainan tradisional daripada ditelan arus modenisasi.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran kejohanan ini jelas mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam mengangkat sukan tradisional sebagai khazanah budaya yang tidak lapuk ditelan zaman.
“Kejohanan yang dianjurkan ini bukan sekadar pertandingan tetapi sebuah pentas yang menyatukan komuniti dan menghubungkan warisan nenek moyang dengan semangat juang yang terus mengangkat identiti negeri.
“Sebab itu program seperti ini perlu diteruskan kerana ia akan memberikan ruang kepada golongan wanita bukan sahaja meningkatkan kesihatan tetapi juga menyuburkan perpaduan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Dan Penutup Kejohanan Sukan Tradisional Tun Teja 2025 Piala YAB Ketua Menteri Melaka di Jejantas Tun Teja, semalam.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin; barisan Timbalan Exco, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka, Nasrul Ahmad serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.
Menurut Ketua Menteri, antara matlamat utama dibawah pentadbiran beliau adalah melaksanakan pemuliharaan dan pemeliharaan warisan, seni, budaya termasuklah membudayakan sukan tradisional.
“Ini adalah iltizam dan tekad jelas yang saya bawa agar anak-anak muda khususnya terus mewarisi warisan, seni dan budaya Kita.
“Semoga kejohanan ini menjadi titik perubahan kepada gelombang baharu dalam memartabatkan sukan tradisional sebagai industri budaya yang berdaya maju,” katanya.
Terdahulu, kejohanan yang mempertandingkan sukan tradisional antaranya konda-kondi, batu seremban, kelereng dan dam aji merekodkan lebih 1,000 penyertaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

