Sorting by

×

MELAKA ANJUR FESTIVAL CHENG HO 2026

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KLEBANG 18 November – Kerajaan Negeri buat julung kalinya bakal menganjurkan Festival Cheng Ho 2026 sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 pada tahun hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, festival tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai sejarah dan penemuan berkaitan pelayaran Cheng Ho di Melaka.

Katanya, festival itu akan menampilkan rekod sejarah rasmi, artifak serta penemuan penyelidikan terkini hasil penerokaan berkaitan hubungan Melaka dan China.

“Pada festival tersebut apa yang kita paparkan bukan sekadar cerita, tetapi hasil penyelidikan dan bukti yang sedang dikumpulkan. Segala maklumat baharu akan dibentangkan bermula tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Cheng Ho’s Economic Nexus for Global Harmony & Outreach (CHENGHO2025) di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Penasihat khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China kepada Ketua Menteri Datuk Wira Lim Ban Hong, barisan Exco, Timbalan Exco serta kenamaan lain.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Kedutaan Republik China di Malaysia, Zheng Xuefang.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata festival itu dijangka menjadi antara tarikan utama pelancongan pada tahun hadapan selain pada masa yang sama memperkukuh kedudukan Melaka sebagai pusat rujukan sejarah maritim dunia.

“Segala perincian lanjut berhubung festival seperti tarikh, lokasi dan pengisiannya akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

522
Kongsi :
Previous post PASAR WILAYAH KOTA LAKSAMANA LEBIH SELESA, MODEN