Sorting by

×

MELAKA ANJUR HARI AIDS SEDUNIA, TINGKAT KESEDARAN HIV

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BUKIT KATIL 1 Disember – Penganjuran Hari AIDS Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2025 yang akan diadakan pada 11 Disember ini menjadi platform terbaik bagi memberikan kesedaran awam mengenai HIV serta AIDS.

Pengarah Kesihatan Melaka, Dr. Ruzita Mustaffa berkata, sambutan Hari AIDS Sedunia yang disambut bermula 1 Disember setiap tahun, membawa misi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya langkah pencegahan serta mengelakkan stigma dan diskriminasi terhadap penghidap HIV.

“Hari AIDS Sedunia adalah merupakan platform bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai punca jangkitan dan bagaimana mahu mencegahnya.

“Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mahu mengurangkan stigma orang awam terhadap pesakit-pesakit HIV atau AIDS dan walaupun ada pesakit yang disebabkan jangkitan oleh hubungan seksual, namun ada juga yang tidak bersalah.

“Jadi kita perlu mengurangkan stigma tersebut kerana tidak semua pesakit HIV atau AIDS adalah disebabkan tingkah laku berisiko seperti hubungan seksual atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir ke Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) kepada 26 premis makanan di bawah rangkaian kopi terkemuka negara yang disempurnakan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem.

Ketika ditanya mengenai perkembangan kes HIV atau AIDS di Melaka, Dr. Ruzita memaklumkan penularan jangkitan tersebut tidak meningkat secara ketara, namun punca jangkitan kini lebih banyak terarah kepada hubungan seksual sejenis dan berlainan jantina.

“Sebelum ini, umum ketahui punca jangkitan adalah menerusi pengambilan dadah secara suntikan, namun sejak kebelakangan ini punca jangkitan kebanyakannya disebabkan oleh aktiviti hubungan seksual sejenis atau berlainan jantina,” ujarnya.

Beliau turut menyeru orang ramai terutamanya warga Melaka hadir memeriahkan sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2025 yang akan diadakan di Dewan Taming Sari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pada 11 Disember ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

255
Kongsi :
Previous post MELAKA PERKUKUH SISTEM KEHAKIMAN SYARIAH MELALUI CADANGAN RUU BAHARU