
MELAKA ANJUR PERTANDINGAN SEKOLAH TERCANTIK, MURAL TERBAIK
AYER KEROH 26 Mei – Dalam usaha memperkukuh sektor pendidikan dan meningkatkan kualiti pembelajaran, Kerajaan Negeri akan menganjurkan dua pertandingan melibatkan kesemua sekolah di Negeri Melaka
Dua pertandingan itu adalah Pertandingan Sekolah Tercantik dan Pertandingan Mural Sekolah melalui slogan ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bagi Pertandingan Sekolah Tercantik, ia akan melibatkan dua kategori iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah.
Katanya, pertandingan itu akan dinilai berdasarkan elemen 3K iaitu Kebersihan, Keceriaan dan Keselamatan.
“Inisiatif ini adalah sebagai pemangkin untuk sekolah-sekolah bersaing secara sihat sekali gus memastikan sekolah sentiasa dalam keadaan yang bersih dan kondusif,” katanya.
Beliau berkata ketika berucap pada Majlis Perhimpuan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mei 2025 anjuran Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelacongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan, agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ketua Menteri, bagi Pertandingan Mural Sekolah, ia juga melibatkan sebanyak 318 buah sekolah di seluruh negeri Melaka dan sehingga kini, lebih 40 buah sekolah telah menghasilkan mural tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.