Sorting by

×

MELAKA ANJUR SEMINAR ANTARABANGSA MARITIM, KUPAS PENEMUAN ‘KAPAL PURBA’

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERKAM 8 Februari – Seminar Antarabangsa Maritim yang bakal dianjurkan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) pada September depan akan menumpukan perbincangan terhadap penemuan kapal purba berusia kira-kira 1,000 tahun berhampiran Pulau Melaka.

Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah berkata, penganjuran seminar itu antaranya adalah untuk memastikan sebarang jumpaan kapal purba dapat dikenal pasti secara holistik, selain mengetahui teknologi pembinaannya.

“Pada September atau Oktober tahun ini PERZIM akan mengadakan Seminar Antarabangsa Maritim khas untuk jumpaan struktur kapal purba.

“Pada seminar itu nanti kami akan menjemput pembentang dari dalam dan luar negara termasuk pakar bidang perkapalan serta arkeologi kerana kita mahu mengenal pasti jumpaan kapal tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Karnival Warisan Adat Temenggong Dan Adat Perpatih Mengikut Tradisi Jawa, di Kampung Paya Tanjung, pada Jumaat.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman yang juga wakil rasmi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan.

Menurut Erne, penganjuran seminar itu antara tiga program besar yang dirangka dan akan dilaksanakan PERZIM sepanjang 2026.

“Tahun ini akan diadakan Festival Masakan yang dijadualkan pada Julai serta Melaka Heritage Festival dan pastinya akan kelainan yang diketengahkan untuk kedua-dua program itu nanti.

“Di samping itu juga pelbagai program berskala kecil atau ‘pocket program’ akan diadakan setiap bulan bagi menyemarakkan aktiviti kebudayaan dan warisan negeri sekali gus memeriahkan sambutan Tahun Melawat Melaka 2.0,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

346
Kongsi :
Previous post MELAKA PERHEBAT PROMOSI PELANCONGAN DI INDIA
Next post 101 PROGRAM ‘GAMATKAN’ KARNIVAL DEMI PAYA RUMPUT